Cepatnya masa berlalu..kita dah masuk fasa terakhir ramadhan..
DALAM satu hadis
yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah dikatakan bahawa:
"Barang siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan,
maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu."
Mendirikan malam
al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya
daripada semua perbuatan maksiat
hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.
Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah
saw dan sahabat pada malam-malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar.
Antaranya:
1) Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman
Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah
pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah dan melihat bahawa Baginda
mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi
pada malam-malam akhir Ramadan.
Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat
seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in menyatakan bahawa mereka
akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir
Ramadan.
Apa yang dilakukan oleh Rasulullah saw, sahabat dan
Tabi'in ini adalah satu upaya untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul
Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.
2) Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca
al-Quran.
Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis
daripada Aishah, bermaksud: “Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir
daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malam-malamnya, membangunkan
keluarganya dan mengikat pinggangnya.” (ikat punggang disini mungkin bermaksud
menjauhi pergaulan suami-isteri)
Sahabat dan ulama berbeza pendapat dalam memberi
penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi, mereka bersepakat bahawa Rasulullah
melebihkan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.
Ibadat yang biasa dilakukan pada malam Ramadan
adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis
yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin `Ash bermaksud: “Barang siapa
yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia
tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai.”
Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada
malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan
bahawa Rasulullah melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran
dengan tertib.
Baginda tidak akan melalui ayat rahmat terkecuali
berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab
terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.
Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam
akhir Ramadan hingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata: “Siapa yang solat
Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya
daripada malam itu.” Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh saja
dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apa lagi mereka
mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.
Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan
ini biasanya diisi oleh Rasul dengan beriktikaf di masjid dan tidak tidur
bersama isteri-isterinya. Ini berdasarkan hadis Aishah yang diriwayatkan oleh
Bukhari dan Muslim, bermaksud:”Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir
sampai Baginda wafat.”
3)Memperbanyak doa.
Rasulullah bersabda doa adalah otak segala ibadat.
Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aishah diperintahkan oleh Rasulullah
untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.
Dalam satu hadis daripada Aishah diriwayatkan
at-Tirmizi, Aishah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.
Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada
malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah.
Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aishah. Doanya
berbunyi: “Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya
Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka
ampunilah aku ini).”
Pada malam itu Allah akan mengabulkan semua
permohonan dan doa, terkecuali terhadap empat golongan manusia. Ibnu Abbas
berkata: “Semua doa pada malam itu diterima terkecuali doa orang meminum arak,
anak yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang selalu bertengkar dan mereka yang
memutuskan silaturahim.”
Subhanallah....
No comments :
Post a Comment
selamat mengomen ye...:)