1. Menyempatkan diri untuk beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian
diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:“Wahai anak Adam,
sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup
kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan
kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu
Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan
pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh
kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan
kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.: “Barang siapa memperbanyak istighfar maka
Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala
masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat
Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas
r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah
jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu
rezeki. Sabda Nabi s.a.w.: “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki
kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati
tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada
orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi
tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati
menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad,
Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi
rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali
kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya
maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu
Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)Mendoakan ibu bapa juga menjadi
sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.: “Apabila hamba itu
meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki
(Allah) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang
yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah
ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim
dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi
s.a.w.: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana
orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab
Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda
Nabi s.a.w.: “Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan
hajatnya…” (Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan
berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat
menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan
menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya
kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan
disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan
rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain
mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w.,
berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh
berjemaah) adalah amalan yang berkat.
Kesimpulannya, banyak amalan-amalan yang perlu kita lakukan untuk murah rezeki..10 ini adalah di antaranya.semoga bermanfaat buat teman-teman semua.
'Renung-renungkan dan Selamat Beramal'